Pages

Kawan-kawan

Sunday, 15 September 2013

AGENDA BUMIPUTRA NAJIB - ANALISIS TAN SRI DR NORDIN KARDI



TUN Razak telah dengan berani melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang isi kandungannya kelihatan memihak kepada bumiputera. Sudah tentu dasar ini mendapat kritikan keras dari dalam dan luar Negara.

Tanpa apologi, Tun Razak dengan tegas menyampaikan mesej bahawa peristiwa rusuhan berdarah 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan pembahagian ekonomi di dalam negara.

Kemiskinan bumiputera begitu ketara saat DEB dilancarkan iaitu pada kadar 64.8 peratus berbanding 26.0 peratus Cina miskin dan 39.2 peratus India. Kadar kemiskinan tegar pula menunjukkan bumiputera mewakili 9.9 peratus.

Empat puluh tahun selepas DEB, perangkaan dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi menunjukkan bahawa kemiskinan bumiputera masih lebih tinggi berbanding kaum lain iaitu 2.2 peratus, Cina diwakili oleh 0.3 peratus dan India 1.8 peratus.

Sebanyak 0.3 peratus bumiputera berada pada kategori miskin tegar berbanding 0.2 peratus India dan 0.0 peratus Cina.

Begitu membanggakan, sasaran serampang dua mata DEB ia itu menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum telah tercapai berbanding satu lagi sasaran iaitu menyusun semula masyarakat.

Amat munasabah apabila digambarkan bahawa agenda bumiputera yang dilancarkan oleh Najib melampaui semata-mata kotak ekonomi dan sudah tentu usaha menyusun semula masyarakat yang amat penting untuk perpaduan, keselamatan dan keamanan negara mempunyai tempat penting dalam agenda itu.

Dasar Ekonomi Baru dilancarkan selepas kerajaan ditinggalkan oleh kaum bukan bumiputera pada Pilihan Raya 1969. Sejarah seperti berulang dan kebetulan pemimpin yang bakal memperbetulkan keadaan bumiputera pada milinium 21 ialah anak Tun Razak sendiri.

Jika sasaran kerajaan Tun Razak adalah meningkatkan ekuiti bumiputera kepada 30 peratus dalam tempoh 20 tahun berbanding hanya 2.4 peratus pada garis permulaan DEB (1970) tentu banyak yang bersetuju jika Najib pula meletakkan sasaran 60 peratus sebagai mewakili komposisi penduduk bumiputera pada kedudukan itu.

Tidak mengapalah sekiranya selepas tempoh yang ditetapkan sasaran itu tidak tercapai sepenuhnya, namun, seperti DEB selepas tempoh 20 tahun, ekuiti bumiputera telah meningkat kepada 20 peratus, masih beberapa peratus diperlukan untuk mencapai sasaran 30 peratus.

Keadilan

DEB menetapkan agihan ekuiti pada kadar 30-40-30 (bumiputera: bukan bumiputera: asing) dan ternyata bumiputera tidak berupaya mencapai sasaran berbanding pencapaian bukan bumiputera yang telah mencapai 46.8 peratus berbanding sasaran 40 peratus.

Kerajaan Tun Razak tanpa segan-silu memilih gagasan moral bahawa keadilan di dalam negara tidak dapat ditegakkan dengan membiarkan komponen penduduk majoriti berada dalam kesakitan.

Pendirian ini mendapat pengesahan daripada tokoh ilmuan di barat seperti Just Farland dalam tulisan bertajuk Growth and Ethnic Inequality: Malaysia New Economic Policy yang pernah diterbitkan Utusan Press pada 2003.

DEB telah berjaya mengubah struktur pendapatan bumiputera daripada 89.3 peratus sangat rendah, iaitu di bawah RM400 berbanding kepada pendapatan tinggi (melebihi RM5,000) yang hanya 0.1 peratus pada 1970 kepada 0.5 peratus pendapatan terendah berbanding 33 peratus bumiputera berpendapatan tinggi melebihi RM5,000 pada 2012.

Ini menunjukkan sasaran mengurangkan kemiskinan yang pada akhirnya menghapuskannya tercapai dengan baik. Namun begitu saranan menyusun semula masyarakat seperti tidak mendatangkan hasil menggalakkan.

Ini digambarkan dengan jelas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar yang mengatakan hanya ada lapan peratus sahaja akauntan bertauliah bumiputera.

Warganegara Malaysia tentu ingin melihat, jika Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pimpinan Tun Razak telah berupaya mengubah banyak keadaan kedaifan bumiputera kepada keadaan yang lebih baik masa kini, bagaimana pula Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) pimpinan anaknya akan dapat meletakkan bumiputera di tempat yang lebih dihormati.

Kerajaan telah pernah mencipta agensi-agensi yang telah merintis rekod cemerlang dalam membangkitkan sosioekonomi bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (SEDC), Perbadanan Nasional (PERNAS) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), adakah pula MTAB akan hanya menyuntik tenaga tambahan kepada agensi-agensi tersebut atau akan tampil dengan agensi-agensi baru yang mempunyai keupayaan yang lebih menakjubkan?

Rekod golongan profesional bumiputera mengurus PNB dan Petronas telah berjaya memadam cakap-cakap yang memperkecilkan keupayaan bumiputera mengurus.

Selepas berjaya, golongan profesional bumiputera telah membuktikan yang mereka tidak gelojoh atau tamak kaum, sebaliknya mencipta pelbagai produk (contohnya Amanah Saham Wawasan PNB) yang dapat dinikmati oleh kaum-kaum lain juga.

Keberanian

Ini amat berbeza dengan sektor-sektor persendirian bukan bumiputera yang kelihatan sangat liat untuk mengambil golongan profesional bumiputera bekerja dengan mereka bagi jawatan-jawatan eksekutif penting.

Bagi melaksanakan DEB, dua cara telah dilakukan iaitu membantu bumiputera menceburi perniagaan dan mengeluarkan pelbagai biaya pendidikan supaya bumiputera memperolehi pendidikan tinggi.

Umum dapat menyaksikan betapa cara kedua lebih berjaya berbanding cara pertama. Keberanian kerajaan menghantar anak-anak bumiputera ke luar negara terutamanya Amerika Syarikat (berbanding sebilangan pelajar elit ke England sebelumnya), pada angka ribuan telah melahirkan ketua pelbagai badan korporat yang cemerlang dan berwibawa, baik lelaki mahupun perempuan.

Mereka berupaya menjadi peneraju badan-badan kewangan tempatan dan antarabangsa. Ini tidak termasuk ribuan bekas pemegang pinjaman pelajaran Mara yang kemudiannya menjadi saintis dan profesor di universiti-universiti tempatan.

Pernahkah suatu ketika dibayangkan bagaimana doktor-doktor Melayu, misalnya, merawat ribuan pesakit keturunan Cina dan India?

Hari ini, kalau ada sesiapa yang pergi ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, orang itu pasti insaf betapa DEB telah melahirkan begitu ramai doktor Melayu atau bumiputera pakar yang dengan penuh dedikasi tanpa diskriminasi merawat begitu ramai pesakit yang tidak sama keturunan dengan mereka.

Pada hal, semasa Universiti Kebangsaan Malaysia mula mengambil pelajar pada 1970 dahulu, bukan sedikit cemuhan dan kesangsian terhadap graduan yang bakal dilahirkan oleh universiti Melayu yang diajar oleh para guru Melayu dan dalam bahasa Melayu.

Hari ini juga, Universiti Kebangsaan Malaysia atau universiti yang diajar oleh guru-guru Melayu ini menjadi tempat belajar yang diidam-idamkan atau tempatnya direbuti oleh anak-anak bukan bumiputera oleh kecemerlangannya.

Alangkah baiknya jika MTAB mengekalkan kecemerlangan idea MAGERAN dalam hal ini sehingga muncul segolongan bumiputera yang menjadi tempat orang bukan bumiputera mendapat pertolongan dan perkhidmatan.

Melayu dan bumiputera hanya akan dimuliakan apabila mereka berupaya memberi pertolongan kepada orang lain, bukan sebaliknya menyakiti.

Kejayaan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera amat kritikal kepada kerajaan semasa sebagai isyarat bahawa mandat yang diberikan oleh bumiputera dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu benar-benar difahami oleh pemerintah.

Beberapa rakan bukan bumiputera saya juga menyetujui bahawa semua pihak sedang memerhatikan isyarat yang bakal dihantar oleh pemerintah sehingga tamat mandat ini nanti.

Ada di antara mereka berkata bahawa pengundi Cina terutamanya telah merasa tersilap kerana yakin benar bahawa kerajaan yang ada akan dapat dikalahkan.

Oleh keyakinan itu dan sebagai pengundi rasional dan praktikal, mereka tidak mahu kehilangan pelbagai peluang sekiranya mereka tidak bersama dengan kerajaan baharu yang bakal naik. Slogan 'ini kali lah' adalah slogan yang mewakili keyakinan ini.

Namun begitu, sekiranya dengan meninggalkan rakan politik lama itu mereka membaca isyarat bahawa mereka tidak merasai apa-apa kerugian, maka rasional politik mereka akan selama-lamanya berubah daripada tradisi yang dipegang selama ini: mesti bersama dengan yang berkuasa jika tidak mahu kerugian kepada 'pilih yang mana satu pun tidak mengapa dan tidak akan rugi apa-apa kerana sebaliknya yang meminta untuk dipilih itu begitu terdesak memerlukan golongan mereka'.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 comments :

  1. Kita ada sukuk,Lembaga zakat(IZO),Baitulmal,TRX,Wakaf coperate,Tabung Haji dll sebagai pemain dana islamic utk membentuk ekonomi islam.Uda,Mara,Syarikat perumahan Negara,klomergerat melayu muslim dan agensi2 kerajaan serta kerajaan negeri yg berkaitan sebagai engine pertumbuhan.Fokus utama utk menerima impak daripada koridor ekonomi,pusat bandar bertema dan pelancongan utk pembinaan hartanah bagi orang melayu dan bumiputera.Konsep mesti kpd syariah yg menolak prinsip manipulasi,spekulasi dan riba.Membina hartanah yg di bawah pegangan wakaf utk penyewaan/jual beli dalam konsep bidaan mengikut nilai permintaan bukan dari bdan penilai hartanah yg membebankan dan ke arah sistem riba yg berganda.Mewujudkan unit saham yg berteraskan kpd syariah dlm hartanah berasaskan kpd keuntungan aktiviti penyewaan,jual beli hartanah secara bidaan dan aktiviti ekonomi yg berkaitan.Konsep hartanah kediaman yg menarik dan murah serta dapat menambah setingkat ke atas.Maksudnya,pailing utk 2 tingkat dan bumbung konkrit utk rumah teres setingkat.Proses sebegini akan meningkatkan pemilikan hartanah oleh kaum melayu dan bumiputera serta peningkatan kutipan zakat.

    ReplyDelete
  2. Peranan DEB dan agensi kerajaan banyak membantu meningkatkan taraf hidup dan sara diri orang melayu tetapi bukan meningkatkan ekuiti bumiputera dan terserlah dlm penghapusan kemiskinan.Sepertimana juga dasar penswastaan negara dan perindustrian yg banyak membuka peluang pekerjaan.Dasar penswastaan adalah tunggak utama pendapatan kwsp selain drpd sektor ekonomi yg lain.Orang melayu dan bumiputera hanya makan gaji shj.Berbeza dgn orang cina yg makan gaji,berpesatuan dan berniaga berskala besar serta menabung wang simpanan dan keuntungan.Secara kesimpulan,bangsa cina menguasai semua sektor ekonomi termasuk pendeposit terbesar di dlm sektor kewangan.

    ReplyDelete
  3. Wakaf punyai hak untuk menjana perekonomiannya aja,dan hasilnya boleh di makan.Boleh jugak di bantu buat golongan asnaf dan mualaf .Enggak buleh di jual beli.

    ReplyDelete

AMIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...