Pages

Kawan-kawan

Monday, 31 December 2012

EKSKLUSIF !!! PERUTUSAN YAB PM @NAJIBRAZAK SEMPENA TAHUN BARU 2013

EKSKLUSIF !!! PERUTUSAN YAB PM @NAJIBRAZAK SEMPENA TAHUN BARU 2013 !!! WAJIB BACA !!!


Bismillahirahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Rakyat Malaysia Sekalian,

1. Alhamdullilah, beberapa jam lagi kita akan menyambut tahun baru 2013.Sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur kerana kita akan menyambut tahun baru ini dengan berlatarbelakangkan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang telah kita tempa dengan berkat usaha bersama di sepanjang Tahun 2012.

2. Tahun 2012 telah menyaksikan tamatnya fasa pertama Prakarsa Transformasi yang melibatkan lapangan Kerajaan, Ekonomi dan Politik. Kesan inisiatif ini amat positif. Di peringkat antarabangsa misalnya, angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang telah meningkat secara yang membanggakan. Laporan Bank Dunia, "Doing Business 2013" misalnya, telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus niaga di dunia manakala laporan "World Competitiveness Yearbook 2012" telah menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.

Rakyat Malaysia Yang DiKasihi,
3. Dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk Tahun 2013,serta dalam rangka membina kejayaan yang berterusan, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang lalu. Apa yang baik dan telah terbukti berjaya perlulah kita teruskan dan tambahbaik dengan segala kelemahan yang ada dibaiki. Sementara apa yang terbukti gagal patut ditamatkan dan diambil teladan daripadanya. Untuk meneruskan usaha bagi memastikan wawasan nasional Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan tercapai,kita perlu membina di atas asas yang telahpun diletakkan melalui lembayung Dasar Transformasi Nasional.

4. Bagi Tahun 2013, kita perlu meneruskan agenda nasional bagi mengukuhkan perpaduan Kebangsaan yang merupakan teras kelangsungan negara dengan berpandukan Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

5. Kedua,meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan sistem jaringan keselamatan sosial di mana setiap rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan akan memperolehnya, di mana bantuan kebajikan dan subsidi adalah disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan dan diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga, korporat dan keagamaan.

6. Ketiga,meningkatkan kemakmuran negara dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan,kesihatan fiskal dan merangsang sistem pergerakan sosial yang bertunjangkan harapan,di mana pencapaian seseorang individu hanya dihadkan oleh daya imaginasi,daya keusahawanan dan sejauh mana kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja keras,di mana kreativiti,inovasi dan kesanggupan mengambil risiko akan mendatangkan laba yang lumayan.

7. Keempat,untuk memastikan Malaysia akan menjadi tempat terbaik untuk membina sebuah kehidupan.Tempat terbaik untuk berkeluarga dan membesarkan anak-anak,sebuah negara yang mempunyai masyarakat penyayang,sistem keluarga yang kukuh,kejiranan dan jalan yang selamat dari jenayah, alam sekitar yang lestari, sekolah dan institusi pendidikan yang berkualiti serta sistem perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkemampuan.

Rakyat Malaysia Yang DiHormati,
8. Saya yakin dan percaya bahawa fajar kejayaan akan sentiasa menyinari Malaysia dan kehidupan rakyatnya. InsyaAllah,dengan perancangan yang rapi serta teliti dan pelaksanaan yang berkesan,hari ini akan lebih baik dari hari semalam dan hari esok akan menjanjikan kemungkinan yang berterusan.

9. Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang kita impikan mampu tercapai.Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada hanyalah kesanggupan melakukan sesuatu. Negara memerlukan tuan-tuan dan puan-puan.Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini suatu realiti. Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan kejayaan,bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik,untuk negara dan anak-anak kita.

10. Saya dan Kerajaan hari ini tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dokongan padu tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Berikanlah kami mandat yang jelas dan kami berjanji akan menggunakan kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan itu dengan sebaik-baiknya bagi membina sebuah Malaysia untuk semua. Selama inipun, telah terbukti kami menepati segala janji dan komitmen yang diberi.

Rakyat Malaysia Sekalian,
11. Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen.Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan halatuju yang jelas. Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan bagaimana masa depan negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak di bawa.Bapa-bapa dan ibu-ibu pengasas negara telah mengemudi Malaysia ke mercu jaya dengan keringat, air mata dan darah.Hari ini tanggungjawab terletak pula di bahu kita.Sama ada Malaysia terus mara ke hadapan atau berundur.

12. Malaysia sesungguhnya ialah sebuah negara di mana peluang, tanggungjawab, kemakmuran dan nilai murni dikongsi bersama oleh warga yang majmuk,dipenuhi jutaan peluang di sebalik pelbagai kemungkinan yang terbentang.Kemungkinan itu suatu rahmat.Kemungkinan itu asas aspirasi.Saya menyeru untuk kita bersama-sama mencorakkan dalam merealisasikan destini Malaysia muncul sebagai sebuah kemungkinan yang terus menyinar.

13. Akhir kata,saya mendoakan agar Tahun 2013 ini menjanjikan kerahmatan kepada semua rakyat Malaysia.Selamat Tahun Baru 2013.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments :

Post a Comment

AMIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...